22. Kerjaya Bidang Pergigian

18/04/2020

22. Kerjaya Bidang Pergigian

img

Professor Dr. Rahimah Abdul Kadir

( BSc, DDS, MSD, MPH, DrPH )

Tahukah adik bahawa negara kita amat ketandusan doktor gigi? Setakat ini kita hanya mempunyai sekitar 1 800 doktor gigi di seluruh negara. Ini bermakna seorang doktor gigi terpaksa merawat sekitar 13 000 orang pesakit. Ramai daripada doktor gigi bekerja di klinik kerajaan tetapi ada juga sebahagian yang membuka perniagaan mereka sendiri. Tetapi tidak kira di mana mereka berada, kewajipan mereka ialah untuk membantu meredakan keluhan pesakit sebaik mungkin. Untuk menjadi doktor pergigian adik mesti rajin dan gigih belajar. Pelajaran sains amat penting untuk kita hayati. Matematik juga sama pentingnya. Oleh kerana kita juga adalah masyarakat majmuk maka kita juga perlu mempelajari tentang adat resam setiap bangsa dan agama di negara ini. Di negara kita ini terdapat hanya dua buah universiti yang menawarkan kursus ijazah di bidang pergigian iaitu Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Di UM kursus itu mula ditawarkan sejak 1972 dan kini telah menghasilkan seramai 1 100 orang doktor gigi sementara di UKM pula baru dimulakan pada tahun 1997. Di Fakulti Pergigian adik akan dilatih dalam pelbagai disiplin yang amat menarik seperti mengenai rangka dan tulang manusia, pertumbuhan gigi dan rahang. Adik juga akan mempelajari bagaimana membancuh ubat-ubatan, jenis rawatan yang boleh diberikan dan pelbagai macam jenis logam dan bahan tampalan yang digunakan. Tugas doktor gigi sebenarnya bukan sekadar mencabut dan menampal gigi sahaja. Kerjaya itu menawarkan pelbagai bidang kepakaran yang boleh adik ceburi.